Selamat hari ibu kepada semua ibu-ibu. Satu hari yang paling istimewa buat mereka yang bergelar ibu. Buat mereka yang masih mempunyai ibu, janganlah hari ini saja anda mengingati atau merai mereka. Hargai mereka selagi anda masih mampu mendengar suaranya, mendengar leterannya dan juga mungkin mendengar jerit pekiknya setiap kali memarahi anda.
Sempena hari ibu ini saya ingin ceritakan tentang arwah emak saya. Kelak kalau tidak banyak, ambillah satu sebagai satu renungan di masa akan datang. Bukan untuk membangga diri tetapi saya tidak mahu anda di antara anda yang bakal menyesal satu hari nanti.
Arwah emak saya di sahkan menghidap sakit buah pinggang pada tahun 2005 dan menerima rawatan di Hospital Besar Ipoh selama hampir sebulan. Dalam tempoh itu sayalah yang menjaga arwah emak. Bagi mereka yang menghidap sakit buah pinggang memerlukan penjagaan dari ahli keluarga memadangkan keadaan mereka sangat sukar untuk menguruskan diri sendiri bila menjalani proses mencuci darah. Mereka akan terbaring dan tidak boleh bangun. Bila di soal, pernahkah anda mencuci najis emak anda, tentu saja saya anggukkan kepala, kerana itu jugalah tugas saya semasa menjaga arwah emak saya. Arwah emak saya akan menangis setiap kali saya mencuci najisnya.Kata arwah emak, dia banyak menyusahkan saya. Kalau anda sedang berhadapan dengan keadaan saya, apa jawapan anda ketika anda menyapu air matanya dalam keadaan begitu? Sedihnya hanya Tuhan saja yang tahu.
Tapi mungkin juga kelebihan yang Tuhan beri kepada saya ialah, saya pandai buat lawak. Dalam keadaan payah saya masih mampu berjenaka dengan arwah emak saya.
"Emak ni, kalau mak orang lain dah lama Along tampar...!" Ujar saya ketika itu sambil buat lawak. Saya buat-buat jenaka setiap kali arwah emak saya rasa bersalah. Akhirnya arwah emak saya akan ketawa juga. Lama kelamaan proses mencuci najisnya sudah menjadi kebiasaan buat saya. Arwah emak juga tidak lagi rasa bersalah.
Dua minggu pertama itu saya tidak terasa apa-apa. Walaupun ketika itu arwah emak saya sudah di pindahkan ke wad biasa, dan boleh ke bilik air dengan bantuan saya. Masuk minggu ketiga saya sudah rasa lain macam. Bukan saya rasa bosan atau sudah mula menganggap menjaga arwah emak sebagai bebanan tetapi di sebabkan minggu ketiga itu sudah masuk bulan puasa.
Saya terkenangkan bagaimana suami saya bersahur bertemankan anak-anak kami. Waktu itu umur Wawa baru masuk tiga tahun dan kakak baru sepuluh tahun. Suami saya sudahlah kalau goreng telur saja, belum tentu jadi telur goreng. Macam manalah keadaan mereka anak beranak.Sedih saya sudah tak terucap. Tetapi saya tidak boleh menangis. Kalau arwah emak saya tahu saya menangis, masa itu juga saya kena halau. Mujur saya di berikan dengan seorang suami yang begitu memahami. Sekalipun Encik Zulkarnain tak tahu masak tak tahu kemas rumah, tetapi satu kelebihan yang saya tidak boleh saya nafikan ialah, Encik Zulkarnain pandai jaga anak. Percaya atau tidak, sepanjang kami membesarkan anak-anak, saya jarang berjaga malam sebab kalau saya dah tidur, saya tak ingat apa-apa lagi.Untuk itu, terima kasih sayang...
Mujur dua minggu lagi hendak raya, keadaan arwah emak saya beransur pulih dan sudah boleh keluar wad.
2007, sekali lagi arwah emak saya di serang sakit. Kali ini tahap kritikal. Tetapi kali ini saya bergilir menjaganya bersama adik perempuan saya. Dan giliran saya tiga malam terakhirnya.
Kali ini saya menjaganya siang dan malam. Saya belum lagi ceritakan bagaimana keadaan saya tidur ketika di menjaganya 2005. saya tidur selama sebulan itu di atas lantai berhampiran katil arwah emak saya. Nak tahu betapa sejuknya, cubalah tidur di lantai simen. Tak perlulah sebulan cukuplah semalam. Lepas tu ada satu malam tu, bersebelahan katil arwah emak saya ada orang meninggal pada pukul satu pagi.Warisnya tak ada yang menunggu. Jadi mayatnya terbujur di atas katil sementara menunggu orang menguruskannya esok pagi. Bayangkan keadaan saya. Sebelah saya katil arwah emak, dan sebelah lagi katil mayat orang. Kalau anda bolehkah anda tidur. Yang peliknya saya boleh terlena, kata arwah emak siap berdengkur lagi.
Berbalik kepda cerita saya pada 2007. Pagi Ahad itu saya rasa cukup hening. Aneh sungguh. Saya di sisi arwah emak saya sambil memegang tangannya. Semakin lama saya rasakan tangannya semakin sejuk. Berkali-kali saya mengajar dia mengucap tetapi sudah tiada balasan. Saya pegang badan juga mula sejuk, akhirnya saya panggil doktor. Beberapa minit kemudian doktor mengesahkan emak saya sudah meninggal. Saya cukup tenang. Paling tenang yang pernah saya rasa. Kawan-kawan yang saya kenali di sekitar katil arwah emak saya, masing datang memberi ucapan takziah. Anehnya setitis air matapun tidak menitik. Pelik sungguh.
Sementara saya mencari kereta jenazah, saya minta kawan-kawan saya itu menunggu jenazah emak saya. Saya lihat masing-masing membacakan surah Yassin. Berkat sikap peramah saya, saya di temani oleh kawan-kawan yang baru saya kenali dan tidak kedekut pula mengelilingi jenazah arwah emak saya dengan bacaan ayat-ayat suci.
Sehingga kini, saya tidak sedikitpun rasa menyesal. Kerana sebagai anak saya telah melakukan yang termampu walaupun tidak terbaik. Semuanya akan saya kenang sehingga ke akhir hayat saya. Ada seorang kawan beritahu saya, satu-satunya perasaan yang sukar dikikis dalam hati naluri seorang anak ialah, bila di timpa rasa menyesal seumur hidup. Mujur saya tidak memiliki perasaan itu. Sikitpun tidak.....
0 comments:
Post a Comment