Peristiwa ini berlaku kira-kira 10 tahun yang lampau. Dan semalam(kenapa saya masih gemar menggunakan DAN untuk permulaan ayat saya? Penyakit agaknya) teman yang empunya peristiwa menghubungi saya. Panjang ceritanya. Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, dalam setahun hanya 2 atau 3 kali saja dia menghubungi saya dan saya jarang sekali menghubunginya. Biasalah alasan saya, saya sibuk tahap gila.
Katanya semalam adalah hari ulang tahun ke 10 dia bergelar janda. Susah saya gambarkan perasaan saya ketika mendengar cakap-cakapnya begitu. Tumpang gembira atau tumpang berduka saya sendiri tidak pasti.
Dia berpisah dengan suaminya setelah lima tahun berumah tangga dan tidak dikurniakan anak menjadi alasan kenapa mertuanya memaksa suaminya berkahwin lain. Dia pasrah. Jodoh dengan suaminya kebetulan sekampung dengan kawan saya itu, sudah berakhir. Dia memilih untuk membawa haluan sendiri kerana tidak rela berkongsi kasih.
Setelah berpisah dia mengambil seorang anak angkat perempuan. Katanya dulu kawan untuk dia melawan kesepian.
Setelah 10 tahun berlalu, bekas suaminya sudah mempunyai 3 orang cahaya mata, namun cerita yang disampaikan kepada saya semalam sangat memeranjatkan saya. katanya bekas suaminya sudah berpisah. Dan anak-anaknya telah diserahkan kepada bekas mertua kawan saya itu.
Alasan mereka berpisah ialah, si isteri tidak tahan sikap anak manja si suami yang terlalu mengikut telunjuk emak. Semuanya hendak dirujuk kepada emak terlebih dahulu.
Begitulah yang kawan saya rasa selama 5 tahun menjadi isteri kepada lelaki tersebut. Yang membuatkan saya tepuk tangan ialah, sekarang ini bekas emak mertua kawan saya itu terpaksa memikul beban menjaga ke tiga-tiga cucu yang masih kecil kerana sikap lepas tangan anak dan menantunya. Padan muka!
Kata kawan saya itu, bekas mertuanya menyesal tak sudah dengan apa yang berlaku.
Selepas saya dan kawan saya berbual panjang, sayapun terfikir. Sesungguh setiap kejadian itu sebenarnya ada hikmah yang tersembunyi. Cuma kita ini, jarang-jarang hendak menilai setiap kejadian itu dari sudut kebaikkan.
0 comments:
Post a Comment